Subscribe Us

Majlis Bandaraya Alor Setar lancar mesin kiosk mudahkan orang ramai bayar cukai pintu

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hari ini melancarkan mesin kiosk bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran kepada pihak berkuasa tempatan itu tanpa perlu ke kaunter pejabat mereka.
Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata penggunaan mesin kiosk dapat mengurangkan kesesakan orang ramai di kaunter selain dapat memudahkan masyarakat membuat pembayaran selepas waktu pejabat. 
"Buat masa ini, mesin kiosk hanya menyediakan perkhidmatan membayar cukai pintu, sewa kedai dan kompaun sahaja dan untuk lain-lain urusan, orang ramai perlu ke kaunter," katanya kepada pemberita selepas pelancaran di pekarangan pejabat MBAS di sini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan institusi kewangan bagi membolehkan orang ramai menggunakan kad kredit atau kad debit bagi membuat pembayaran.

"Mungkin dalam masa terdekat mereka (orang ramai) tidak perlu menggunakan wang tunai untuk membuat pembayaran di mesin itu," katanya.

Mat Noh berkata mesin kiosk itu boleh menerima wang kertas bernilai RM1 sehingga RM100.

"Jika mendapat respon yang baik, kita akan menambah jumlah mesin ini dengan meletakkannya di bank-bank dan juga di tempat tumpuan orang ramai," katanya,

Beliau berkata mesin kiosk yang diletakkan di luar pejabat MBAS itu boleh diakses oleh orang ramai setiap hari termasuk hari cuti dari pukul 7 pagi sehingga 12 malam.

"Kita mula menggunakan mesin kiosk pada 15 Dis tahun lepas dan lebih 100 orang telah menggunakannya," katanya.

Katanya, selain menggunakan mesin kiosk dan pembayaran di kaunter, orang ramai juga boleh membuat pembayaran melalui perbankan internet. -- BERNAMA

Sumber: Harian Metro 

Post a Comment

0 Comments