Subscribe Us

Stephen Hawking meninggal pada usia 76 tahun

LONDON - BRITAIN. Saintis terkemuka Britain, Prof Stephen Hawking meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Menurut anak beliau Lucy, Robert dan Tim dalam satu kenyataan bersama, bapa mereka menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga di Cambridge, awal pagi tadi.

"Kami berasa amat sedih kerana bapa kesayangan kami meninggal dunia pada hari ini. Beliau adalah seorang saintis yang hebat dan seorang lelaki luar biasa yang mana legasinya akan kekal selamanya.

"Keberanian, ketabahan, kebijaksanaan dan sikap humor beliau memberi inspirasi kepada penduduk di seluruh dunia. Kami akan sentiasa merindui beliau," menurut kenyataan tersebut.

Mereka meminta diberi privasi dan turut berterima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dan menyokong Hawking sepanjang hidup beliau.

Beliau mula menggunakan kerusi roda pada 1969 selepas kawalan fizikalnya semakin lemah selepas didiagnosis dengan penyakit neuron motor (ALS) pada 1963 dan diberi tempoh dua tahun untuk hidup.

Keadaan itu menyebabkan beliau lumpuh seluruh badan dan terpaksa berkomunikasi menggunakan alat sintesis suara yang berfungsi mengikut gerakan jarinya. - Agensi

Info:

Stephen Hawking

Dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, England

Menuntut di Universiti Oxford dalam bidang sains semula jadi pada 1959 sebelum menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PHD) di Cambridge

Menggariskan teori lubang hitam menerusi 'radiasi Hawking' pada 1974

Terbitkan buku A Brief History of pada 1988 yang terjual lebih 10 juta salinan

Kisah ahli fizik dan kosmologi terkenal itu pernah difilemkan menerusi The Theory of Everything pada 2014 yang dibintangi Eddie Redmayne dan Felicity Jones     

Beliau juga pernah muncul sebagai cameo dalam siri komedi Amerika Syarikat, The Big Bang Theory

Sumber: Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments