Subscribe Us

Padah 'merempit' di Lebuhraya Kesas

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan empat lelaki 'merempit' di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) arah ke Klang, Selangor, mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya menjalankan operasi berkenaan dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman, antara 10 malam kelmarin hingga 4.45 pagi semalam.

"Dalam tangkapan pertama, kami mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi bersaing sesama sendiri dan zig zag bermula dari Kilometer (KM) 24.6 Lebuhraya Kesas arah Klang sehingga KM18.7.

"Mereka kemudian dilihat berpatah balik menghala ke Shah Alam melalui susur Banting dan melakukan aksi sama bermula dari KM19.2 sehingga ke KM24.6 lebuh raya berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia antara 17 hingga 19 tahun dalam operasi itu.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek dan motosikal terbabit, kami turut mengeluarkan 14 saman atas pelbagai kesalahan.

"Mereka turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 60 akta sama," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Post a Comment

0 Comments