Catatan Perjalanan Haji 2025 nukilan seorang sahabat
PERJALANAN HAJI SOLO MUSIM HAJI 1446H/2025M
PART 1
Setelah menghadiri beberapa siri Kursus Asas Haji sejak bulan Oktober 2024……
Pada tanggal 16 DISEMBER 2024, terima mesej begini melalui sms
Tuan/Puan TERPILIH tunai haji pada musim haji 1446H/2025M. Sila layari laman web THIJARI untuk jawab tunai haji.
Perasaan bercampur – baur bila menerima tawaran haji, gembira dan bimbang sama banyak. Tabung Haji (TH) hanya bagi tempoh sebulan untuk menjawab terima atau tidak tawaran berkenaan.
Maka bermulalah episod baru dalam hidup yang penuh dengan dugaan dan ujian. Ada sahabat beritahu ujian haji selalu ada dari sebelum sehingga selepas mengerjakan haji. Sabar amat penting katanya. Tempoh memberi jawapan terima tawaran haji adalah sebelum 15 Januari 2024. Dalam tempoh sebulan ada 2 masalah utama iaitu lulus pemeriksaan kesihatan dan duit mencukupi dalam akaun Tabung Haji sebanyak RM23,500.
Dalam akaun Tabung Haji waktu itu hanya ada RM4,500, memang tidak mampu untuk cukupkan RM23,500 dalam tempoh sebulan. Dalam hati berkata macam terpaksa tolak tawaran haji sebab tak dapat fikir untuk dapatkan wang sebanyak yang ditetapkan oleh pihak TH. Hasrat menolak tawaran di beritahu pada adik, Nampak jelas di wajahnya seolah – olah tidak bersetuju dengan keputusan kakak. Sambil mencongak dalam fikiran, bolehkah nak cukupkan jumlah RM23,500 dalam masa terdekat. Dalam hati berkata Allah yang jemput ke Mekah….kena usahakan jugak !
Berita tawaran haji dikongsi bersama kawan – kawan terdekat. Tiba – tiba teringat pesan sahabat dari zaman sekolah Shereena ( Cien ), beliau berpesan bila dari mula hadiri kursus haji. “Hang nanti bila dapat tawaran haji hang habaq kat aku.” Cien seorang cancer fighter pada tempoh ini dan agak mustahil untuk kami berjumpa seperti selalu. Berita tawaran haji disampaikan pada Cien dan sekaligus bagi tau hasrat untuk menolak tawaran haji berkenaan. Cien yang memang terkenal dengan sifat tegas dengan nada keras terus berkata, “Hang tau dak berapa ramai yang dok tunggu nak pi haji tapi tak dapat lagi. Hang pulak yang dapat pi senang2 saja hang nak tolak. Lepaih tu bila pulak hang nak pi ?” Alamak, garangnya…hahaha…tapi betul jugak apa yang Cien cakap. Tiba-tiba Cien terus transfer RM5,000 dalam akaun. Terkejut sangat terus tanya, “Awat yang hang tiba2 bagi kat aku sampai 5K. Banyak tu.” Cien kata “ Aku mau hang pi tunai Haji, aku dah bagi dah sikit, hang pi cari lagi, juai la handbag hang atau emas yang ada.” “ Tapi Cien awai sangat ni hang bagi.” Cien cakap, “ Aku takut aku mati dulu tak dan hang nak pi Mekah.” Waktu ni airmata tak dapat nak tahan lagi. Ucapan terima kasih tak terhingga dengan linangan airmata saja yang mampu.
Episod seterusnya adalah saringan kesihatan sebelum menunaikan haji. Pemeriksaan bermula di klinik swasta, tapi hasil keputusan yang tak berapa memuaskan menyebabkan saya terpaksa dirujuk kepada Doktor Pakar di Klinik Kesihatan Kerajaan. Maka bermulalah sebulan yang penuh dengan masalah dan rintangan. Hidup seakan bersahabat rapat dengan jarum, diet yang ketat, penimbang berat badan, alat tekanan darah dan macam2 yang buat saya hampir putus asa. Terus beritahu pada doktor di Klinik Kesihatan, “ Doktor kalau dah susah sangat nak bagi saya lulus saringan kesihatan, tak payah bagi saya pi.” Doktor berbangsa cina, Doktor Chan tanya, “ Kalau you tolak bila pulak you boleh pi ?“ Terkesan dengan teguran doktor berjaya saya diam. Doktor Chan cakap, “Kita usahakan sampai boleh lepas saringan kesihatan !” Agak malu dengan teguran doktor yang bukan Islam saya usahakan jugak dalam tempoh sebulan untuk melepasi saringan kesihatan. Dalam hati kadang - kadang terdetik, “ Aku ni nak pi buat haji atau nak masuk Ironman Triathlon. “
Dipendekkan cerita sebelum 15 Januari 2025, wang dalam akaun TH telah berjaya dikumpulkan sebanyak RM24,000. Wang terkumpul dengan bayaran Ganjaran Cuti Rehat, KWSP untuk Jemaah Haji, dari perniagaan dan lain-lain. Semua rezeki daripada Allah Taala. Pemeriksaan Kesihatan juga berjaya walaupun bertanda merah dengan perkataan HIGH RISK dalam My Sejahtera.
Alhamdulillah…syukur atas kurniaan Allah Taala. Memang benar Allah akan memampukan hambaNya yang dijemput ke Baitullah.
Mereka yang dipanggil ke Baitullah bukan selalu yang paling sempurna ibadahnya, tapi mungkin yang paling teguh di tengah luka dan doa yang tak putus. Mungkin saya termasuk dalam golongan ini. Wallahualam…
….tunggu sambungan PART 2
Nukilan: AB
0 Comments